Cara Mengatasi Masalah Melepak

Gejala melepak ini boleh dicegah sebelum parah sekiranya pihak kerajaan atau pihak swasta menjalankan kempen untuk menyedarkan masyarakat kita tentang keburukan melepak. Ketika kempen tersebut dijalankan, pihak media sepatutnya memainkan peranan yang penting dengan menyiarkan berita atau cerita yang berkaitan dengan cara yang lebih berfaedah untuk mengisi masa lapang kita. Pihak sekolah juga mungkin boleh mengadakan pertandingan berceramah atau syarahan dengan tajuk yang berkaitan dengan keburukan melepak.

Selain itu, masalah melepak di kalangan golongan remaja boleh dicegah sekiranya pihak ibu bapa sanggup mengorbankan sedikit waktu untuk bersama-sama anak-anak mereka sama ada di rumah ataupun dengan mengadakan aktiviti keluarga di luar rumah. Dengan ini, anak-anak mungkin tidak berasa bosan dan tidak akan mengamalkan tabiat melepak. Pihak ibu bapa yang mampu pula mungkin dapat menyediakan beberapa kemudahan di rumah seperti perpustakaan sendiri, komputer peribadi, permainan dan sebagainya supaya anak-anak dapat mengisi masa lapang mereka di rumah dan tidak perlu keluar melepak.