Punca Wujudnya Budaya Lepak

1) Sikap Ibu bapa

(Contoh Gambar)

Antara punca-punca timbulnya masalah melepak ialah kurangnya kawalan, pengawasan dan perhatian ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mungkin terlalu sibuk dengan hal masing-masing sehingga tidak sempat untuk meluangkan masa melayan dan bermesra dengan anak- anak mereka. Keadaan ini mengakibatkan anak-anak terasa diri mereka diabaikan. Oleh sebab itu, mereka keluar untuk melepak dengan rakan-rakan sebaya kerana ingin mendapatkan perhatian orang ramai. Ada juga ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak-anak mereka dididik sepenuhnya oleh guru-guru di sekolah dan tidak mengambil perhatian yang berat dalam pendidikan anak-anak.

2) Keadaan Di Rumah

(Contoh Gambar)

Selain faktor kecuaian ibu bapa, golongan remaja juga didapati suka melepak kerana berasa bosan tinggal di rumah tanpa sumber hiburan dan kemudahan-kemudahan untuk memenuhi masa mereka secara yang lebih berfaedah. Mereka juga mungkin berasa bosan kerana tiada suasana yang harmoni di rumah mereka kerana setiap ahli keluarga sibuk dengan hal masing-masing dan sering berlaku pertengkaran di rumah. Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak berasa tertekan lalu keluar untuk mencari hiburan dan melepak untuk memenuhi masa lapang mereka.

3) Pengaruh Rakan Sebaya

(Contoh Gambar)

Rakan juga memainkan peranan penting terhadap penularan gejala lepak di kalangan remaja. Remaja mudah terpengaruh dengan hasutan dan ajakan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu perkara yang baru. Pada awalnya mereka menjadikan melepak sebagai perkara suka-suka untuk memenuhi kemahuan rakan tetapi apabila mereka merasakan keseronokan, lama-kelamaan ia menjadi satu tabiat yang sukar untuk dikikis.

4) Persekitaran sosial

(Contoh Gambar)

Ia juga merupakan satu faktor yang amat penting dalam pertumbuhan gejala lepak yang semakin berleluasa ini. Remaja yang tinggal di bandar lebih ramai melepak berbanding dengan remaja yang tinggal di luar bandar. Fenomena ini disebabkan di bandar tersedia pusat membeli-belah, video game atau snuker dan sebagainya yang menjadi pemangkin penting dalam perkembangan remaja melepak.

5) Tekanan Hidup

(Contoh Gambar)

Remaja memilih melepak sebagai satu escapism atau cara untuk lari daripada tekanan hidup seharian. Antara golongan remaja yang melepak terdiri daripada kalangan remaja yang sedang belajar atau sudah bekerja. Mereka menghadapi tekanan semasa belajar dan tekanan di tempat kerja kerana terpaksa menanggung bebanan pelajaran dan pekerjaan yang teralu banyak. Justeru itu, bagi meghilangkan tekanan hidup, mereka mencari tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai, menyeronokkan dan selesa serta banyak kemudahan sebagai tempat lepak.