Pengenalan

Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius dan gejala membuang masa dengan melepak ini pastinya merupakan suatu penyakit di dalam sesebuah masyarakat. Kegiatan ini bukan sahaja dilakukan oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan. Tingkah laku ini dilakukan oleh golongan remaja yang menjadi golongan terbesar penduduk negara.

Ann Wan Seng ( 1994) menyatakan bahawa tingkah laku melepak ini asalnya dimulakan oleh remaja yang tersisih daripada masyarakat atas sebab-sebab seperti tidak mempunyai pekerjaan sehingga menunjukkan perangai yang tidak baik dan bosan tinggal bersama keluarga.

Hall (1904) menganggap bahawa golongan remaja sebagai kumpulan individu yang sedang berada di dalam zaman yang penuh dengan keributan dan tekanan perasaan. Kedudukannya di dalam tahap yang sedang memikirkan tujuan kehidupan. Manakala menurut Harre dan Lamb (1983) remaja mula melakukan penyesuaian diri yang lebih kompleks dengan keluarga, teman sebaya dan guru, melalui aktiviti seharian dan kehidupan sosial sesuai dengan perasaannya.

Papalia dan Olds (1978) berpendapat bahawa hubungan sosial dengan teman sebaya akan membina budaya tertentu dalam kehidupan remaja. Hubungan sosial yang sihat dan baik boleh menghasilkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran sosial, kemahiran penyesuaian diri, sikap bekerjasama dan hormat menghormati. Sebaliknya, kumpulan teman sebaya yang tidak sihat akan meruntuhkan sifat dan perwatakan yang positif.

Isu lepak semakin kerap diperkatakan sekarang. Tingkahlaku remaja yang suka menghabiskan masa lapang di tempat awam seperti kompleks membeli belah, perhentian pengangkutan awam dan tempat tumpuan orang ramai dikenali sebagai aktiviti lepak. Masalah ini telah menjadi satu budaya kepada golongan remaja khasnya. Budaya ini semakin memperlihatkan remaja masa kini yang tidak menyedari yang mereka adalah pewaris masa hadapan bagi menjayakan wawasan negara. Banyak media massa yang memberi kenyataan menyatakan pemimpin-pemimpin negara, masyarakat tempatan dan individu telah meletakkan lepak di kalangan remaja ini sebagai salah satu aktiviti sosial dan budaya yang setanding dengan isu penyalahgunaan dadah, penyakit AIDS dan pembuangan anak. Semua gejala ini kaum Melayu adalah kaum yang tertinggi sekali bilangannya berbanding dengan kaum lain.